Beberapa unsur Pensejarahan Melayu Tradisional Dalam Hiayat Merong Mahawangsa

Beberapa unsur Pensejarahan Melayu Tradisional Dalam Hiayat Merong Mahawangsa

Pengarang karya sastera sejarah tradisional menggunakan berbagai-bagai unsur mitos dan lagenda untuk dijadikan sebagai bukti subjektif dalam penulisannya. Bila hikayat itu menceritakan tentang sesuatu yang lebih dekat dengan zaman kini, barulah bukti objektif seperti unsur realiti dan sejarah sebenar dipakai.

Dalam HMM kita bertemu dengan berbagai-bagai unsur mitos yang berasal dari pada pengaruh Hindu dan juga setempat. Pengaruh-pengaruh yang berbeza juga dipertentangkan supaya ternampak yang satu lebih mengatasi yang lain. Burung geroda, binatang mitis hindu kenderaan Visynu dipertentangkan dengan kuasa Allah menerusi Nabi Allah Sulaiman. Unsur mitos Hindu dan animisme seperti gajah sakti, anak raja yang ditemui dalam buluh betung dan dalam sungai, mitos asal usul tempat dan lain-lain semuanya dikemukakan dengan cara yang teratur dan bertujuan memberikan asal usul raja Kedah gambaran yang agung dan gemilang.

Cerita-cerita di sekitar Raja Bersiung adalah contoh penggemblengan unsur mitos Hindu dan unsur perlambangan untuk memberikan asal usul raja-raja Kedah suatu pewarnaan keagungan dan kehebatan.

Penggemblengan unsur realiti dan mitos tergambar dalam gaya pengarang menceritakan bagaimana terjalinnya perhubungan antara Kedah dengan Siam. Dengan cara yang menarik, pengarang tidak menafikan bahawa Siam mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dari Kedah dan mengaku Kedah menghantar bunga mas dan perak kepada Siam. Tetapi pujangga istana Kedah menjelaskan peristiwa-peristiwa ini berlaku dengan pendekatannya yang tersendiri tanpa menjejaskan kedaulatan negeri Kedah.

Telah dijelaskan dari awal bahawa perhubungan antara negeri Kedah dengan Siam adalah berasaskan ikatan kekeluargaan antara adinda bongsu dengan kekanda sulung. Dengan mudah dapat diterima mengapa permaisuri Raja Bersiong dan menteri keempat meminta bantuan dari Siam bila menghadapi masalah mencari orang yang sesuai untuk dijadikan raja, menggantikan Raja Bersiong.

Pengarang tidak mengatakan Raja Siam terus membantu tetapi Raja Siam berunding dengan ahli nujum dan meminta pihak ketiga, iaitu gajah sakti, untuk menyelesaikan masalah itu. Dengan menggunakan unsur-unsur yang wujud dalam sistem kepercayaan masyarakat, pengarang menyatakan tugasnya sebagai pujangga istana yang bertanggung jawab.

Sumber :

https://urbanescapesusa.com/